Promotion By Adverlets And Adbrite


Dating In Malaysia

Dating In Malaysia
Dating In Malaysia

Cybermoney2u Blog

Cybermoney2u Blog
Cybermoney2u Blog

Tuesday, May 30, 2006

Nutrisi terbaik daripada ibu


MEMBERI yang terbaik untuk anak anda ialah tanggungjawab tanpa kompromi. Justeru, memberi susu ibu secara eksklusif sekurang-kurangnya hingga dia berusia enam bulan satu pilihan yang sangat bijak.


Susu ibu yang tidak boleh dipertikaikan adalah sumber nutrisi terbaik untuk bayi yang baru dilahirkan. Selain mengandungi antibodi, ia memiliki ramuan terbaik untuk pertumbuhan bayi dari jumlah asid lemak, laktosa, air, asid amino untuk pencernaan dan pertumbuhan minda bayi. Selain membantu perkembangan retina dan memberi perlindungan kepada sistem saraf tengah bayi. Ia juga membawa enzim pencernaan yang membantu bayi mencerna nutrisi dalam susu.

Banyak laporan dibentangkan menjelaskan keupayaan susu ibu yang diberi kepada bayi secara eksklusif membantu bayi kurang berhadapan dengan risiko sakit perut, jangkitan pada telinga, masalah pernafasan atau jangkitan kencing yang kebanyakannya berpunca daripada penyusuan botol.


Susu badan terhasil dalam satu bahagian kecil seakan kelenjar dalam payudara. Kelenjar ini terjadi selepas hormon tertentu (estrogen, progestreron, pituitary prolactin dan placental lactogen) diransang dan terjadi pada fasa kedua kehamilan.

Payudara manusia tidak menyimpan susu dalam jumlah yang banyak seperti lembu. Menghisapnya meransang pelepasan hormon prolactin yang akan meransang penghasilan susu dan pelepasan satu lagi hormon (oxytocin). Hormon ini kemudian akan merangsang pengecutan kelenjar susu. Susu akan keluar daripada kelenjar ini ke saluran susu sebelum melalui puting.


Pada permulaan penyusuan, susu berwarna seakan biru dan mengandungi laktosa, protein dan sedikit lemak dikenali sebagai ‘foremilk’. Pada akhir penyusuan akan terjadi ‘hindmilk’. Hindmilk mengandungi lebih banyak lemak, sumber utama tenaga bayi anda.


Jenis susu ibu

  • Colostrum - Terhasil pada hari-hari pertama selepas melahirkan. Ia berwarna kekuningan dan diperkaya dengan antibodi dan juga protein. Ini menjadikan ia sangat ideal bagi bayi baru lahir. Ia pekat kekuningan, kaya protein, antibodi dan vitamin juga mineral.
  • Transitional- Cair, berwarna putih. Komposisinya hampir sama dengan susu matang.
  • Susu matang - Lebih cair hampir kebiruan pada awal penyusuan tetapi bertukar putih apabila kandungan lemaknya bertambah.

Pelan pemakanan ibu menyusu

Menyusukan bayi menggunakan 500 kalori setiap hari. Kebanyakan tenaga ini diambil daripada simpanan lemak ketika ibu itu hamil. Justeru, kebanyakan wanita hamil mengalami pertambahan selera makan. Rasa lapar dan dahaga memang menjadi kelaziman dalam tempoh hamil.

Ibu menyusu bukan saja perlu mengisi pelan pemakanan mereka dengan makanan bernutrisi tinggi, tidak berlemak dan mengandungi kandungan gula yang tinggi saja. Keperluan pada protein, kalsium, folik dan vitamin C dan A juga perlu diberi perhatian. Keperluan ini harus diseimbangkan dengan pengambilan makanan yang sepatutnya.

Ibu menyusu juga harus minum air lebih daripada biasa dan mengelak daripada meminum teh, kopi atau minuman bersoda dan alkohol.


FAKTA Nutrisi ketika menyusukan bayi


Kalori - Ibu yang menyusu memerlukan minimum 1,800 kalori sehari. Jika dia menyusukan bayi kembar, keperluan kalori itu bertambah. Selera ibu adalah panduan terbaik pada keperluan tenaga. Jika berat badan anda kurang antara satu ke empat paun dalam sebulan dalam tempoh menyusukan bayi, itu tandanya anda tidak menikmati makanan dengan secukupnya.

Wanita yang terlebih berat atau wanita yang berat badannya bertambah dengan banyak ketika hamil, mungkin boleh mengurangkan empat hingga enam paun dalam sebulan tanpa menjejaskan produksi susu untuk bayi. Tetapi menjadi kembali langsing dalam tempoh yang drastik sepatutnya dielakkan bagi ibu yang menyusukan bayi.

Protein - Keperluan protein bertambah ketika menyusukan bayi. Tetapi pastikan anda memasukkan pengambilan protein yang secukupnya. Protein harus ada dalam dua kali pengambilan makanan sehari. Daging, ikan, kacang, tofu, telur dan produk rendah lemak adalah sumber protein terbaik.

Kalsium - Keperluan kalsium ketika menyusukan bayi banyak tersimpan ketika hamil jika anda mengambil sekurang-kurangnya tiga atau empat makanan berkalsium setiap hari.

Cecair - Penghasilan susu badan memerlukan air. Minum sekurang-kurangnya lapan ke 10 cawan air setiap hari. Tetapi elakkan pengambilan minuman kafien kerana ia akan mengalirkan menerusi susu dan memberi kesan pada bayi.

Makan makanan atau snek secara tetap dan makan pelbagai makanan. Cuba masukkan senarai ini dalam diet anda setiap hari; susu, keju atau yogart, daging,ikan, kacang, buah-buahan dan sayur-sayuran.

Makanan yang harus dielak

  • Ada sesetengah orang percaya bawang putih, halia, buah citrus perlu dielakkan jika anda menyusu badan. Tetapi ada baiknya anda mendapatkan kepastian daripada doktor anda kerana ia mungkin mengurangkan vitamin dan mineral yang diperlukan tubuh.

  • Minuman beralkohol akan menjejaskan susu badan membuatkan ia berubah bau yang akan memberi kesan pada bayi walaupun jumlah yang anda minum sangat kecil.

  • Disarankan untuk mengelak makanan yang boleh menimbulkan alahan jika anda berhadapan dengan masalah alahan.

Mengapa menyusu botol?

Kadangkala memberi bayi menyusu botol adalah keperluan. Apatah lagi jika si ibu bekerja. Tetapi berselang-seli pemberian susu formula dengan susu badan juga pilihan terbaik.

Walaupun semua susu formula tidak dapat menandingi faedah immunologikal susu ibu, tetapi kebanyakan susu formula yang ada di pasaran hari ini memiliki komposisi nutrisi yang hampir sama dengan susu ibu (walaupun tidak secara sepenuhnya).

Ada dua jenis susu formula yang kedua-duanya berasaskan susu lembu. Whey-dominant susu yang diubahsuai untuk menyerupai susu ibu dan ia dianggap sesuai untuk bayi kurang tiga bulan

Casein-dominant pula dianggap sesuai untuk bayi yang lebih dewasa atau bayi yang lapar. Walaupun ia mengandungi komposisi nutrisi yang hampir sama, tetapi ia mengambil masa untuk dicerna.

INFO Masalah penyusuan botol

Cirit birit dan muntah

Masalah serius yang mungkin boleh menyebabkan dehidrasi. Kombinasi muntah dan cirit-birit lebih serius berbanding bayi itu berhadapan dengan cirit birit saja. Ada bayi yang akan memuntahkan semula sebahagian kecil susu yang diberi diakhir penyusuan (muak). Ia sesuatu yang normal tetapi jika dia muntah selepas dan antara sesi menyusu, ia sesuatu yang harus diberi perhatian.


Berat badan yang kurang


Pertumbuhan bayi yang agak lambat bukan sesuatu yang perlu dibimbangkan jika doktor anda memantau perkembangan itu dan memberi nasihat serta panduan yang diperlukan. Faktor tipikal berat badan yang kurang mungkin disebabkan pengambilan nutrisi yang tidak secukupnya kerana teknik penyusuan yang tidak tepat, formula yang tidak betul atau ketidakupayaan bayi untuk menikmati susu itu sepenuhnya (misalnya dia gagal menghisap puting susu yang betul) atau gangguan sistem usus atau intoleransi makanan.


Berat badan yang melampau

Jarang terjadi di kalangan bayi yang menyusu susu ibu secara eksklusif. Tetapi bayi yang menyusu botol kerap membesar dengan berat badan melampau. Berat berlebihan ini akan surut jika dia aktif tetapi memastikan perkembangannya dipantau doktor secara satu cara yang elok juga.

Penulis : Hafizah Iszahanid
Sumber : Ruangan Diognisis Berita Harian

No comments:

Jom Berkawan